Saturday, March 27, 2004

Si Tumit Tinggi

‘Jalan tak pakai mata agaknya!’ dengusnya. Kaki yang sedikit merah digosok perlahan. Hatinya mengomel antara geram dan sakit. Rasa menyesal menyarungkan selipar biru pudar itu. Selalunya dia lebih senang berkasut tapi entah kenapa hari ini kakinya pantas menyarung selipar. Tumit tiga inci yang hampir meretakkan tulang kakinya semakin jauh menyusun langkah. Hanya sekali perkataan ‘maaf’ terucap dari bibir empunya kasut. Alasannya, tak sengaja. Telefon bimbit melekap pada telinga yang dilitupi uraian rambut keperangan. Mukanya merah padam. Entah menahan marah pada mangsa di telefon atau rasa malu pada mangsa tumitnya.

Sakit di kaki sudah berkurangan. Sakit di hati masih belum jua reda. Perlahan perjalanan diteruskan. Kunci kereta dikeluarkan dari poket. Satria merahnya kelihatan bergaya dipanah terik mentari petang. Dadanya tiba-tiba berdegup kencang.

‘Kenapa cik? Ada problem ke?’ soalnya. Dikawal suara agar tidak terlalu ketara getarnya. Gadis berambut ikal mayang menoleh. Senyum yang dirancang terbantut serta merta. Si gadis juga turut terpana. Si tumit tiga inci!

‘Awak lagi!’ pantas terkeluar ayat itu dari bibirnya. Jantungnya semakin kencang.

‘Maaf encik. Saya tak sengaja tadi,’ jawabnya. Kunci keretanya dibiar bergantung di pintu.

‘Tak apalah. Dah tak sengaja, nak buat macam mana. Masalah apa pulak kali ni?’ matanya tidak lepas memandang si tumit tiga inci. Kaki yang dipijak tadi kembali terasa sakit.

‘Tak tau kenapa. Tak boleh nak buka pintu.kereta ni,’ kunci diputar ke kiri dan kanan berulang kali. Hampa.

‘Salah kunci kot!’ ujar si teruna. Tangannya bersilang di dada.

Si tumit tiga inci membelek kunci keretanya. ‘Betul, memang kunci kereta saya,’ kunci diputar lagi. Masih buntu.

‘Kunci kereta memanglah awak punya, tapi kereta ni awak punya ke?’ tegas suara si teruna. Si tumit tiga inci berhenti mencuba. Perlahan dia berjalan ke belakang kereta. Nombor pendaftaran kereta diperiksa. Wajahnya merah lagi. Lebih merah dari sepuluh minit yang lepas. Perlahan dia mendapatkan si teruna.

‘Ini kereta encik?’ soalnya perlahan. Dia tunduk memandang kunci yang digenggam.

‘It’s definitely not yours,’ balasnya. Tangannya masih bersilang di dada. Degup jantungnya bertambah rancak.

‘Sorry encik, saya tak perasan,’ si tumit tiga inci seakan mahu menangis. ‘Saya tengah cakap di telefon tadi. Tak perasan..’ air matanya mula mengalir. Si teruna serba salah. Tidak jadi marah. Orang sekeliling sudah mula memandang. Si teruna semakin kalut. Dia menggaru kepala yang tidak gatal.

‘Er.. tak apalah. Bukannya sengaja. Kereta awak kat mana?’ soal si teruna. Hatinya berdoa agar air mata yang turun segera berhenti. Si tumit tiga inci mengangkat muka perlahan. Sangkanya si teruna akan naik angin! Dia mula mencari-cari keretanya. Hanya berselang dua buah Kancil.

‘Saya minta maaf sekali lagi, encik. Saya betul-betul tak sengaja,’ air mata diseka. ‘Kaki encik sakit? Emm.. kalau encik nak pergi jumpa doktor, saya boleh hantarkan,’ pelawanya.

‘Tak payah.. tak apa.. sikit aje,’ balas si teruna. ‘Tak ada apa yang patah.’

‘Kalau macam tu, tak apalah,’ sekeping kad dihulur. ‘Ini kad saya. Nanti encik beri saya bill ubat tu. Saya bayar.’ Si teruna menyambut kad yang dihulur.

‘Tak apa cik…’ dia membaca nama yang tertera. ‘Cik Mas Laila. Tak apa. Saya okay.’

‘Panggil Laila saja. Hm.. encik ada kad?’ tanya Laila. Si teruna segera menghulur kad yang dipinta. ‘Encik Helmi. Maaf sekali lagi,’ Laila menghulur salam. Helmi segera menyambutnya. ‘Saya balik dulu.’

Laila meninggalkan Helmi yang masih berdiri di sisi Satria merahnya.

Mas Laila Sulaiman. Macam pernah kudengar nama itu. Tapi di mana ya?






‘Kalau Ira pakai kebaya, boleh pengsan abang dibuatnya!’ usik Helmi lagi. Amira tersipu-sipu di hujung talian. Mujur Helmi tidak nampak. Kalau tidak, malu dia!

‘Abang ni suka main-main tau!’ rengekan manjanya mencairkan hati Helmi. Bukan dia saja, malah mungkin semua lelaki boleh tergoda! Helmi tersengih. Semakin kuat dia mgusik, semakin menjadi-jadi rajuknya.

‘Pukul berapa abang nak jemput Ira esok? Jangan lambat sangat, nanti mak bising. Ira malas nak dengar dia membebel. Boleh luruh telinga dibuatnya!’ balas Amira. Mereka sama-sama gelihati.

‘Lepas maghrib abang sampailah. Make sure Ira dah siap. Orang perempuan ni kalau bersolek berjam-jam. Kalau lambat sangat, abang tinggalkan Ira,’ ugut Helmi.

‘Amboi, dah tak sayangkan kita lagi ke?’ rajuk Amira. Helmi tersenyum. Sudah menjangkakan rajuk Amira. Dapat dibayangkan wajahnya yang putih mulus bertukar merah. Helmi senyum lagi.

‘Kalau lambat sangat, nanti kempunan abang nak makan nasi minyak tau!’ balas Helmi. Amira ketawa kecil. ‘Ira.. esok… kita nak makan nasi minyak Hafiz dan Salina. Bila kita nak makan nasi minyak Helmi dan Amira?’ tutur Helmi perlahan. Amira tidak menjawab. ‘Ira? Kenapa diam? Ira tak suka?’

Tiada kata yang keluar dari mulut keduanya. Suasana hening seketika. Menyesal rasanya bertanyakan soalan itu. Tapi dia harus memastikan kasihnya tidak sia-sia.

‘Kenapa Ira? Ira tak sukakan abang? Ira tak mahu jadi isteri abang?’ soal Helmi lagi. Masih lagi sunyi sepi. ‘Abang minta maaf. Abang tak sepatutnya tanya Ira macam tu. Kita sambung esok saja ya?’ pujuk Helmi. Sebolehnya dia tidak mahu meniggalkan parut di hati Amira.

‘Abang… abang mahu Ira jadi isteri abang?’ soal Amira.

‘Ira tak percayakan abang?’ balas Helmi. Kaget dengan soalan Amira.

'Bukan sebab itu.