‘Assalamualaikum!’ ucap Dahlia. Pintu bilik ditutup perlahan.
‘Waalaikumsalam. Awalnya kau balik. Kelas habis awal?’ soal Linda. Tangannya terus laju menulis. Apa lagi kalau bukan menyiapkan tugasan.
‘Encik Safian tak ada hari ni. Aku pergi kedai tadi. Eh, lupa pulak. Ada surat untuk kau,’ Dahlia menghulur sehelai sampul putih. ‘Sejak bila kau ada mata air kat Penang ni? Tak bagitau aku pun. Nak sorok la tu!’ usik Dahlia.
‘Surat dari Penang? Bukan surat cinta la tu! Surat dari kawan baik aku kat sekolah dulu,’ balas Linda. ‘Kau tau, dia sekarang ni tengah nak cuba berbaik balik dengan si Nadia kat blok sebelah tu. Dulu diaorang tu bercinta sejak kat sekolah lagi. Baru saja putus tiga bulan lepas. Aku ni macam posmen tak bergaji la. Menabur bakti untuk kawan-kawan. Untung-untung, dapat makan nasi minyak. Aku jugak yang kenyang,’ sambung Linda. ‘Mana pulak gunting ni? Masa kita nak pakai, masa tu la dia hilang,’ rungutnya.
‘Sorry! Aku pinjam semalam. Lupa pulak nak letak balik. Nah,’ hulur Dahlia. Linda memotong hujung sampul. Sehelai surat ditarik keluar. Serentak itu sekeping gambar terlepas dari lipatan kertas.
‘Amboi, gambar mengalahkan hero hindustan! Nak mengorat Nadia dengan gambar terbaru la ni’ komen Linda sambil menghulur potret jejaka berkulit kuning langsat yang jatuh tadi. ‘Tengok ni Dahlia!’ Dahlia meyambut huluran Linda.
‘Macam muka kawan aku masa sekolah rendah dulu. Entah-entah abang dia kot!’ teka Dahlia diiringi tawa kecil.
‘Shah tu anak lelaki tunggal. Tak ada adik beradik lelaki. Adik perempuan ada la,’ sangkal Linda.
‘Ye ke? Nama kawan aku tu pun Shah jugak. Shahrin Othman. Aku kenal dia kat kelas tambahan,’ gambar tadi dihulur kembali pada Linda.
‘Shahrin Othman? Inilah Shahrin Othman! Kecilnya dunia! Kau pun kenal dia? Nampaknya bertambahlah posmen tak bergaji si Shah ni! Nanti aku bagitau dia pasal kau. Shah tu memang jenis yang tak pernah lupa kawan,’ Linda tersenyum lebar.
‘Linda… dia orang tu putus sebab apa?’ soal Dahlia ingin tahu.
‘Pasal si Nadia tu lah. Dia pergi layan lelaki lain. Shah memang marah betul masa dia dapat tau pasal tu. Dia terserempak Nadia tengah berdua-duaan dengan lelaki lain. Terus putus masa tu jugak. Aku tak salahkan Shah. Dia berhak rasa marah. Rasa tertipu. Dah nak dekat tiga tahun bercinta, tiba-tiba Nadia buat perangai. Sekarang ni Shah nak cuba berbaik balik dengan Nadia. Hati dah sayang, Dahlia. Cinta pertamalah katakan. Mesti susah nak lupa. Aku dengar Nadia pun tak ada pengganti lepas putus dengan Shah,’ terang Linda.
‘Amboi mak! Kalah cerita Titanic!’ Linda dan Dahlia sama-sama tergelak.
----------------------------------------------------------------------------------
‘Dahlia, jangan lupa ambilkan baju aku dari kedai dobi hujung minggu ni ye!’
‘Jadi jugak lawatan sambil belajar korang tu ye. Ingatkan hangat-hangat tahi itik aje!’ usik Dahlia.
‘Amboi amboi! Tak sayang mulut ke? Tengok la siapa yang aturkan!’ Mereka sama-sama tertawa. ‘Bukannya lama sangat. Minggu depan aku balik la. Minggu ni kau tidur la sorang-sorang,’ balas Linda. Dicapainya surat yang baru diterima dari atas meja tulis. ‘Surat dari Shah.’
‘Dahlia, hujung minggu depan Shah nak datang sini. Nak jumpa Nadia!’ ujar Linda gembira. Surat yang baru diterima dilipat kembali. Dahlia berhenti menulis.
‘Nak jumpa Nadia? Dia dah tau ke?’ soalnya. Wajah Linda direnung penuh minat. ‘Aku pun teringin nak jumpa Shah. Semenjak habis kelas tambahan dulu, aku tak pernah jumpa dia,’ sambung Dahlia. Mata penanya kembali bekerja. ‘Nadia jadi nak berbaik dengan dia semula ke?’
‘Entahlah. Yang penting, lepas dia dah puas memadu asmara dengan Nadia, bolehlah kita jumpa dia pulak. Aku pun sejak lepas sekolah, tak pernah jumpa dia. Asyik jumpa dalam surat aje,’ balas Linda. ‘Aku rasa, sempatlah aku balas surat Shah ni. Aku nak pesan kat dia, bawa duit lebih sikit. Posmen-posmen yang tak bergaji ni nak tuntut upah! Nampaknya -‘
Tuk tuk! Pintu bilik diketuk kuat.
‘Assalamualaikum! Linda! Linda!’
‘Waalaikumsalam!’ pintu dikuak. Amy tercegat di depan pintu bilik. ‘Kenapa Amy?’ tanya Linda.
‘Ada orang nak jumpa kat depan blok. Budak luar,’ jawab Amy. ‘Amy jumpa dia kat depan tu. Muka serabut macam ada masalah negara aje. Kesian pulak Amy tengok,’ sambungnya lagi.
‘Budak luar? Siapa? Dia tak bagitau nama dia ke?’ soal Linda. Hatinya mula berasa kurang selesa.
‘Amy lupa nak tanya,’ jawab Amy. Kepala yang tidak gatal digaru. ‘Linda pergilah tengok.’ Linda bergegas keluar. Dahlia dan Amy menurut dari belakang.
‘Awak nak jumpa saya?’ tanya Linda. Tubuh sasa seorang lelaki berpaling. ‘Shah!’ Linda separuh menjerit.
‘Linda, sorry aku datang tak bagitau,’ balas Shahrin. Wajahnya jelas keletihan. Tidak keruan. ‘Ini Dahlia kan?’ Dahlia mengangguk. Salam dihulur bergilir pada Linda dan Dahlia. ‘Terima kasih sebab tolong saya cari Linda,’ ujarnya pada Amy. ‘Saya Shah.’ Mereka saling bertukar salam.
‘Saya Amy,’ balas Amy. ‘Emm, saya minta diri dulu,’ sambungnya sambil berundur kembali ke blok asrama.
‘Terima kasih Amy,’ ucap Linda. Dahlia mengekori Amy dengan pandangan hingga hilang kelibatnya.
‘Aku baru dapat surat kau. Kau kata nak datang minggu depan. Kenapa tiba-tiba muncul hari ni?’ soal Linda kehairanan sambil berjalan ke bangku batu berhampiran. Shahrin dan Dahlia menurut.
‘Nadia…’
‘Kenapa dengan Nadia?’ soal Linda. Dahlia terus-terusan merenung Shahrin. Belum ada perkataan yang mahu keluar dari mulutnya.
‘Nadia.. dia…’
‘Kenapa?’ soal Linda kurang sabar. ‘Kenapa dengan Nadia, Shah?’
‘Nadia.. dia main-mainkan aku… dia tipu aku!’
‘Ha? Tipu? Tipu macam mana pulak?’ soal Linda bertubi. Shahrin tunduk merenung kasut. Tengkuknya ditepuk berkali.
‘Bodoh betul aku, Linda. Macam mana aku boleh tak nampak semua ni?’
Sepi. Masing-masing tidak tahu apa yang harus dikatakan. Shahrin menekup mukanya. Satu keluhan berat dilepaskan. Seakan tidak percaya Nadia sanggup mempermainkan perasaannya.
‘Minggu lepas kami dah setuju untuk berbaik semula. Aku cukup gembira. Tak sangka Nadia masih sayangkan aku. Bila aku telefon dia semalam, dia minta putus semula. Bila aku tanya kenapa, dia tak jawab. Dia diam. Aku cuba pujuk dia tapi dia tetap nak putus. Pening kepala aku! Aku cuba cari dia di asrama tadi tapi dia tak ada,’ terang Shahrin panjang.
‘Nadia balik kampung. Aku jumpa dia pagi tadi, dia kata dia ada hal,’ terang Linda. ‘Dia tak tahu kau nak datang?’
‘Tak. Aku terus naik bas dari Penang malam tadi, lepas aku telefon dia. Aku nak bersemuka dengan dia. Aku nak tanya dia, apa sebenarnya yang buat dia berubah hati,’ balas Shahrin. Simpati Dahlia makin meluap pada jejaka ini.
‘Berapa lama kau kat sini?’ tanyaLinda.
‘Sampai aku dapat jumpa dia,’ balas Shahrin pendek.
‘Shah, aku nak ke KL hari ni. Aku bertolak petang nanti. Tak sampai hati pula aku nak tinggalkan kau macam ni,’ sambung Linda. Dia menoleh ke arah Dahlia.
‘Tak apalah. Aku pun tak mahu menyusahkan kau. Dahlia pun pergi sama?’ tanya Shahrin.
‘Tak.,’ jawab Dahlia ringkas.
‘Tak apalah Linda. Dahlia ada. Sekurang-kurangnya ada juga teman aku. Aku pun dah lama tak jumpa Dahlia. Kalau ada apa-apa, aku cari Dahlia,’ sambung Shahrin lagi.
‘Kalau macam tu, tak apalah. Senang sikit hati aku,’ ujar Linda.
----------------------------------------------------------------------------------------------
‘Sudahlah tu Shah. Nanti perut tu masuk angin, siapa yang susah? Kau yang susah, bukan aku. Makan la sikit,’ pujuk Dahlia. Shahrin menguis mee goreng yang belum berluak. Seleranya semakin tipis sejak akhir-akhir ini. Semuanya gara-gara Nadia.
‘Aku tak ada seleralah Dahlia. Aku betul-betul tension sekarang ni,’ balas Shahrin. Redup petang tidak mampu menghapus kegusaran hatinya.
‘Itu aku tau. Tapi kau kenalah jaga diri tu. Kalau kau sakit, bertambah lagi satu problem nanti,’ Dahlia menyuap baki soto ayam ke mulut.
‘Aku nak tau apa salah aku. Sampai hati Nadia buat macam ni pada aku. Aku betul-betul sayangkan dia, tapi dia… dia ingat aku ni tak ada perasaan ke?’ Satu keluhan berat seolah terlepas dari dadanya.
‘Aku tau kau sayangkan dia Shah.’ Dahlia meyapu bibir. ‘Tapi aku rasa, dia yang rugi sebenarnya. Kau cukup baik untuk dia. ‘
‘Kau tak faham Dahlia. Dia cinta pertama aku. Bukannya senang aku nak lupakan dan lepaskan dia macam tu saja,’ ungkap Shahrin perlahan.
‘Mungkin aku tak faham sebab aku tak pernah bercinta. Tapi kau kena ingat. Semua orang kata, setiap yang terjadi tu ada hikmahnya. Sama juga dengan kisah cinta kau ni. Mungkin dia bukan yang terbaik untuk kau. Kau kenalah kuatkan hati. Kau tu lelaki, kena kuat semangat sikit. Jangan sampai dia anggap kau nih nak menagih cinta dia pulak. Bagi aku, kalau bercinta pun, jangan sampai hilang harga diri,’ nasihat Dahlia. Wajah Shahrin direnung. Rasa kasihan membuak di dada. Entah hantu apa yang merasuk Nadia hingga tergamak membuang kasih telus yang bertahun disemai.
‘Kau perli aku ke ni?’ tanya Shahrin. Wajahnya bertukar kusam.
‘Bukan perli, tapi kenyataan. Aku tau, kau akan kata – bercakap memang senang. Memang betul. Kalau aku di tempat kau, aku pun tak tau samada aku mampu pertahankan apa yang aku cakap tadi. Tapi aku rasa ini tugas aku sebagai kawan. Kau mungkin tak nampak semua ni sebab apa yang kau nampak sekang cuma Nadia, Nadia dan Nadia. Aku cuma nak tolong sedarkan kau, itu saja,’ balas Dahlia. Memang sudah diduga reaksi lelaki di hadapannya itu. Mana-mana hati pun akan melenting bila harga diri menjadi taruhan.
‘Jom balik. Lagi lama aku duduk sini, bertambah sakit dada aku,’ ajak Shahrin. Ternyata hatinya masih panas. Dahlia menuruti langkahnya.
‘Sorry Shah, aku bukan sengaja nak buat kau marah tapi..’
‘Aku tau. Cuma telinga dan hati aku belum sedia nak dengar semua tu. Aku masih mengharapkan Nadia. Itu saja,’ jelas Shahrin. ‘Apa yang kau cakap tadi tu.. memang ada betulnya.’
----------------------------------------------------------------------------------------------
‘Kenapa Nad? Kenapa Nad buat macam ni pada Shah? Apa salah Shah?’ soal Shahrin bertubi. Dia benar-benar mengharap penjelasan.
‘Shah tak akan faham kenapa Nad buat macam ni. Nad..’
‘Beritahu Shah!’ potong Shahrin. ‘Kalau Nad tak cerita, macam mana Shah nak faham. Shah bukannya tukang tilik yang boleh baca fikiran Nad,’ Jemari Nadia digenggam kemas. ‘Nad, cuba berita pada Shah. Tolonglah Nad, jangan buat Shah macam ni. Kalaupun Nad dah tak sayangkan Shah, bagitahu saja. Atau Nad dah ada pengganti Shah?’ Jemari halus Nadia dilepaskan. Shahrin berpaling. Seakan tidak percaya bibirnya sanggup membait ayat yang menikam tangkai jantung.
‘Shah! Nad tak ada sesiapa selain Shah. Nad sayangkan Shah!’ Nadia separuh menjerit. Terkejut betul dia dengan tuduhan itu. ‘Nad tau Nad pernah buat macam tu dulu tapi bukan kali ni, Shah. Percayalah!’
‘Habis tu kenapa Nad? Kenapa? Nad nak suruh Shah percayakan apa?’ balas Shahrin kurang sabar. Hatinya betul-betul panas. Penjelasan yang diharapkan belum nampak bayangnya. Air mata Nadia semakin laju.
‘Nad tak boleh.. Nad tak sanggup… Shah, tolonglah faham. Nad tak nak Shah terluka.’
‘Memang Nad dah hancurkan hati Shah. Tak ada bezanya,’ wajah Nadia direnung tajam. ‘Nampaknya Nad memang tak akan beritau Shah apa-apa. Shah dah tak sanggup lagi. Shah tak sangka Nadia yang Shah kenal dan sayang selama ini rupanya perempuan yang kejam. Shah telan semua kejian orang yang cakap Shah ni dayus sebab sanggup terima Nad semula. Shah ingatkan Nad dah berubah. Shah sanggup lupakan semua tu. Tapi nampaknya pengorbanan Shah sia-sia saja,’ hati Shahrin semakin pedih. Semakin ditatap wajah yang lesu dibasahi air mata itu, semakin tersiat perasaannya.
‘Nad minta maaf Shah.. ‘ sedan Nadia semakin ketara. Tubuh Shahrin dipeluk kemas. Hatinya meronta ingin menjelaskan kedudukan sebenar. ‘Lupakanlah Nad… Shah terlalu baik untuk Nad.’
‘Mungkin betul cakap Nad. Nad tak layak untuk Shah,’ tangan Nadia yang membungkus tubuhnya dilerai. ‘Shah doakan semoga Nad bahagia. Anggap saja Shah dah mati. Jangan cari Shah lagi,’ wajah Nadia ditatap buat kali terakhir. Hatinya kecewa. Peritnya bagai luka disimbah cuka.
Air mata Nadia semakin laju. Kesal di hati semakin tebal. Dibiarkan tubuh lelaki yang pernah dan masih bertakhta di hati semkain jauh meninggalkan dirinya. Inilah harga sebuah kasih yang perlu dibayar.
Semoga pengorbanannya tidak sia-sia.
------------------------------------------------------------------------------------------------
‘Dahlia! Bangun Dahlia!’ tubuh Dahlia digoncang kuat. Dahlia bingkas bangun. Mata dibuka perlahan. Rasa mengantuk masih bersisa.
‘Kenapa kejut aku malam-malam buta ni? Aku ngantuklah,’ Dahlia kembali rebah ke tilam yang menggamit tidurnya. Semoga mimpi indahnya sebentar tadi masih setia menunggu di alam lena.
‘Oi anak dara, malam masih muda. Baru pukul 10 tau!’ bebel Linda. Punggung Dahlia dicubit pantas.
‘Adoi! Apa cubit-cubit nih. Kalau kau dodoikan aku kan lagi baik,’ Dahlia menyusun sila. Matanya masih belum mahu jaga.
‘Apa cerita merpati sejoli tu? Agak-agak kau, bila kita dapat makan nasi minyak diaorang ye?’ balas Linda. Senyum terukir di bibirnya.
‘Kau nak makan nasi minyak? Kempunanlah kau nampaknya cik Linda oi! Diaorang tu dah bercerai talak tiga. Kali ini memang muktamad. Shah kata dia dah penat, dah tak larat nak bercinta dengan Nadia,’ mata yang tadinya lesu kini segar bugar. Panas hatinya bila teringatkan kisah Shahrin dan Nadia.
‘Hah? Betul ke ni? Kau ni dah bangun ke masih mimpi Dahlia? Betul ke diaorang tu dah putus?’ Soal Linda bertalu. Baru seminggu lepas Shahrin kelihatan serba tak kena kerana Nadia. Bagai tak percaya mereka sudah berpisah.
‘Betullah Linda. Baru semalam. Shah dah balik Penang pagi tadi. Dia kirim salam pada kau. Dia minta maaf sebab tak tunggu kau balik. Dah tak sanggup nak duduk lama di sini katanya. Aku pun tak salahkan dia. Kalau aku jadi dia, dah lama aku tinggalkan Nadia tu.’
‘Macam tak percaya pula,’ keluh Linda. ‘Agaknya memang bukan jodoh Shah. Aku kenal Shah tu. Dia tu jenis yang setia. Apa pulak sebab musabab diaorg berpisah kali nih? Shah ada bagitau kau?’ soal Linda penuh minat.
‘Itulah yang peliknya. Shah kata Nadia tak nak bagitau kenapa dia minta putus. Sebab itulah Shah bengang sangat. Kata dia, kalau nak putus pun, biarlah bersebab. Ini tidak. Nak minta putus, tapi tak mahu bagitau kenapa,’ jelas Dahlia. Tak pernah didengar kisah cinta yang sebegini rupa. Aneh sungguh!
‘Nadia tu dah gila agaknya. Tergamak dia buat macam tu pada Shah. Kalau aku jadi dia, memang aku tak lepaskan Shah tu. Mana nak jumpa lelaki yang baik zaman sekarang ni? Semua lelaki yang baik-baik dah pupus. Makin maju dan canggih dunia ni, makin susah nak cari lelaki yang jujur. Shah tu serba serbi cukup. Baik hati, romantik, setia, pandai. Kira baiklah tu,’ balas Linda. Hatinya sakit. Bagai peha kanan yang berkongsi sakit dengan peha kiri yang dicubit.
‘Kau ni macam ada hati pada Shah aje!’ usik Dahlia. ‘Kalau dia dah betul-betul putus dengan Nadia, kau bolehlah ganti tempat dia. Dapat jugak aku makan nasi minyak Shah!’
‘Jangan nak merepek ye cik Dahlia! Tak pasal-pasal nanti, benjol dahi tu!’ sangkal Linda. ‘Dah, pergi sambung tidur! Esok kita sambung lagi cerita Kuch Kuch Hota Hai ni.’
Lampu bilik dipadam. Malam ini bintang-bintang di langit bagai hilang sinarnya. Kisah cinta ala Romeo dan Juliet sudah sampai ke akhir garisan.
Di kegelapan malam ini ada hati yang mula terdetik. Ada cinta yang mahu berputik.
No comments:
Post a Comment